Alah Bisa Tegal Biasa : Anak Muda Tegar Berhujan, Berpanas Dalam Kostum Adiwira Demi Sesuap Nasi

BUKIT MERTAJAM, 22 Nov — Diberhentikan kerja ekoran pandemik c0v1d-19, seorang bekas kakitangan syarikat telekomunikasi tidak mengeluh sebaliknya berikhtiar meneruskan kehidupan dan memanfaatkan kreativitinya mengenakan kostum ‘Iron Man’ untuk berniaga air jagung.

Muhammad Syukur Mohd Patthi, 26 berkata dia diberhentikan kerja pada Ogos lepas dan berniaga air jagung sejak dua minggu lalu setelah sukar mendapat pekerjaan lain.

“Sebagai anak muda kita jangan terlalu berharap pada bantuan dan pemberian orang. Selagi ada kudrat, lebih baik cari rezeki sendiri,” katanya kepada Bernama.

Dia bersama dua rakannya, Yusri Md Saad, 35 dan Mohamad Zaidi Zainal Abidin, 33, berniaga air jagung di persimpangan jalan berhampiran Bandar Perda, Bukit Mertajam di sini.

Katanya semasa bekerja di syarikat telekomunikasi itu, dia turut melakukan pekerjaan sambilan sebagai penghibur berkostum adiwira dan watak kartun dalam sebuah kumpulan bergelar Geng Superhero Penang (GSP), dan mereka sering menerima tempahan untuk menghiburkan kanak-kanak pada majlis hari jadi dan sebagainya.

“Namun sejak pandemik c0v1d-19 melanda negara, semua tempahan tersebut telah dibatalkan. Jadi kami rasa dengan memakai kostum ketika menjual air jagung merupakan cara yang unik untuk menarik pelanggan.

 

 

 

“Walaupun kini kami terpaksa berhujan dan berpanas di tepi jalan, setiap kali orang ramai melambai atau bunyikan hon, rasa letih itu berbaloi. Kami faham sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ramai yang rindu suasana di luar… Jika dengan melihat kami ini mereka boleh terhibur, saya turut gembira,” katanya.

Menurut Muhammad Syukur, pada  awal perniagaan itu, mereka mengalami kerugian hingga 90 peratus namun kini semakin stabil.

“Stok yang tidak habis dijual kami beri kepada petugas barisan hadapan di sekatan jalan raya di sekitar Pulau Pinang,” katanya.- BERNAMA

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber :  Bernama