Pengusaha bas ekspres hilang pendapatan sepanjang PKP

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (PEMBAWA) mend4kwa industri pengangkutan itu hilang pendapatan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekali gus dikhuatiri menjejaskan nasib lebih 1,100 pemandunya.

Presidennya, Tajudin Mohd Yunus, berkata selepas menghentikan perkhidmatan sejak 20 Mac lalu, industri pengangkutan bas ekspres ketika ini ibarat kais pagi makan pagi dalam usaha untuk meneruskan kelangsungan operasi syarikat setiap hari.

Sehubungan itu, katanya kerajaan diminta supaya tidak menyambung tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijadual tamat 14 April ini bagi membolehkan industri pengangkutan kembali beroperasi seperti biasa.

“Secara keseluruhan, PEMBAWA yang kini dianggotai 18 syarikat meliputi 747 bas menghentikan perkhidmatan pada 20 Mac selepas menerima arahan dua hari sebelum ini dan ia menyebabkan pendapatan kami kosong hingga sekarang.

“Sebelum ini ada syarikat yang boleh dapat pendapatan RM20,000 hingga RM50,000 sehari bergantung kepada jumlah bas yang dimiliki, ketika ini, nasib lebih 1,100 pemandu bas terjejas apabila mereka tidak bekerja namun pengusaha bas masih perlu membayar gaji mereka, ” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Pada masa sama Tajudin berkata, industri pengangkutan bas ekspres adalah perniagaan yang semakin sukar kerana perlu mendapat titik pulangan modal (BEP) sekurang-kurangnya RM1,500 ke RM2,000 sehari.

Bagaimanapun katanya, ada syarikat yang hanya mampu memperoleh BEP sekitar RM500 untuk menampung kos operasi yang tinggi.

“Senario industri perniagaan sangat sukar bagi pengusaha mendapat keuntungan. Jika adapun, hanya sedikit keuntungan sejak dua tahun kebelakangan ini.

“Lebih teruk apabila tiada pendapatan ketika ini untuk menanggung jumlah beban yang besar seperti pembiayaan bas, hutang peminjam dan membayar gaji kakitangan, ” katanya.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber : BH