Dulu penyanyi rock terkenal, kini ambil upah kutip sampah demi sesuap rezeki

SLIM RIVER – Lagu Bila Bunga Dipetik Orang dan Kerana Menyintaimu nyanyian vokalis kumpulan Sejati, Yazid Alias, pernah menjadi siulan anak muda sekitar tahun 1990-an, namun kini penyanyi itu terpaksa mengambil upah mengangkut sampah demi kelangsungan hidup.

Yazid, 55, berkata penularan pandemik cov1d-19 menyebabkan beliau tidak lagi mendapat undangan membuat persembahan daripada mana-mana pihak.

Susulan itu, katanya, demi kelangsungan hidup beliau terpaksa beralih kerjaya dengan menjadi pengangkut sampah untuk menyara kehidupan keluarganya.

“Setiap hari, bermula jam 9 pagi, saya akan membonceng motosikal yang diubahsuai menjadi motosikal roda tiga untuk mengambil upah mengutip sampah di sekitar Kampung Balun dan Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Kampung Balun.

“Setiap rumah yang mendapatkan perkhidmatan saya akan memberi upah RM10 sebulan dan ada juga yang bermurah hati memberi lebih selepas melihat k3sungguhan kerja yang saya buat ini,” katanya ketika ditemui, dekat sini.

Yazid berkata, penduduk sentiasa memberi sokongan kepadanya dengan membantu mengangkut sampah kerana usaha dilakukannya itu juga dapat memastikan kawasan kampung bersih dan bebas daripada sampah sarap.

Katanya, walaupun pernah popular sebagai artis dan dikenali ramai, beliau tidak malu dengan pekerjaan yang dilakukan sekarang.

“Walaupun pekerjaan ini bergelumang bau sampah yang busvk, namun saya teruskan juga bagi menyara kehidupan keluarga. Buat apa nak malu kerana ini kerja yang halal dan saya tidak kisah apa juga kerja ditawarkan asalkan ia memberi rezeki kepada keluarga.

“Saya bersyukur kerana masih dikurniakan badan yang sihat untuk berkerja menyara keluarga dan ketika cuti sekolah, anak saya, Putera Norsyareza,12, juga membantu saya,” katanya.

Yazid berkata, selepas mengangkut dan meletakkan sampah dalam tong sampah disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) berdekatan Taman Tasik Yang Dipertua (YDP) Slim River, beliau akan membersihkan tempat meletak sampah pada motosikal roda tiga miliknya itu dengan hampas kelapa.

“Hampas kelapa ditabur pada bahagian pelantar untuk menghilangkan bau dan menyerap air sampah pada bahagian pelantar sebelum saya kembali mengangkut sampah di rumah penduduk,” katanya.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber : https://cempedakcheese.com/