Dari Pulau Pinang ke Kelantan, bekas guru Kristian ini pilih Islam

0
120
Muhammad Nabil Ashraf Abdullah (kiri), sambil diajar oleh Sidiq Asan, rakan di Madrasah Pengajian Islam (MPI) Kok Lanas di Kota Bharu
Muhammad Nabil Ashraf Abdullah (kiri), sambil diajar oleh Sidiq Asan, rakan di Madrasah Pengajian Islam (MPI) Kok Lanas di Kota Bharu

Muhammad Nabil Ashraf Abdullah, 32, atau nama asalnya, Isaac Ong Chen, seorang pemuda Cina dari Pulau Pinang yang baru memeluk Islam dua tahun lalu kini dalam misi mendapatkan kelulusan tinggi dalam pengajian agama demi memikat hati ibunya kepada agama fitrah ini.

Beliau mengucap dua kalimah syahadah pada Ogos 2017 setelah 11 tahun memendam hasrat tersebut kerana bimbang dengan pandangan masyarakat sekeliling.

Muhammad Nabil Ashraf Abdullah
Muhammad Nabil Ashraf Abdullah

Berpindah ke Kelantan belajar Islam

Lelaki berbadan tegap ini berkata, sebulan selepas bergelar seorang muslim, dia berpindah ke Kelantan dan mula belajar di Madrasah Pengajian Islam (MPI) di Kok Lanas di sini atas cadangan ustaz di pejabat agama Pulau Pinang.

“Saya meletakkan jawatan sebagai penolong pengurus sebuah kedai buku popular di Pulau Pinang dan kini menjadi pelajar tertua di MPI tetapi saya tidak kisah, saya perlu keluar dari Pulau Pinang kerana suasana di sana tidak sesuai jika mahu mendalami agama.

“Kebanyakan orang Cina di sana masih mempunyai pandangan buruk tentang Islam malah mereka anggap bila seseorang masuk Islam seolah-olah keluarganya sudah kematian anak,”katanya ketika ditemui di MPI di sini kelmarin.

MPI atau lebih dikenali dengan nama Pusat Latihan dan Dakwah Orang Asli (PULDOA) adalah sebuah institusi di bawah Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan yang menyediakan pendidikan asas agama kepada anak Orang Asli, mualaf serta golongan yang tercicir dari arus pendidikan perdana bermula dari usia 12 tahun.

Ibu sedar dia memeluk Islam

Sementara itu, Muhammad Nabil Ashraf berkata, dia merupakan anak tunggal dan semasa di Pulau Pinang dia tinggal bersama ibunya, Tan Ah Ngan, 74, manakala ayahnya pula sudah meninggal dunia empat tahun lalu.

Katanya, ibu kesayangannya itu sedar dia sudah memeluk agama Islam tetapi tidak mahu maklumat itu diketahui sanak saudara dan rakan-rakan kerana malu.

“Ibu saya beragama Buddha tetapi dia tidak kisah pun dahulu semasa saya menganut agama Kristian malah saya pernah bertugas jadi guru Kristian mengajar kanak-kanak di gereja.

“Sebaliknya bila dia dapat tahu saya menjadi Islam dia menangis kerana padanya dia sudah tidak ada anak yang akan ‘sembahyang’ kepadanya apabila dia meninggal dunia,” katanya.

Muhammad Nabil Ashraf berkata, sikap skeptik ibunya kepada agama Islam mendorongnya untuk mengambil subjek Pendidikan Islam dan Tasawur dalam peperiksaan ulangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara persendirian tahun ini supaya beroleh peluang melanjutkan pengajian lebih tinggi dalam bidang agama.

“Ibu saya seorang yang memandang kepada kelulusan ‘sijil’, maknanya kita kena menjadi seorang yang mempunyai kelayakan untuk berdakwah kepadanya,”katanya.

Menyempurnakan ibadah puasa

Dalam pada itu, Muhammad Nabil Ashraf berkata, jika pada tahun lalu dia hanya mampu berpuasa 15 hari pada bulan Ramadan, kali ini dia berharap dapat menyempurnakan ibadah puasa selama sebulan dengan sempurna.

“Walaupun saya belajar di sini bersama adik-adik yang jauh lebih muda, tetapi saya tidak rasa tertekan kerana cabaran di mana-mana tempat pun sama.

“Saya masih lagi belajar buku Iqra’ tahap empat dan mendapat pertolongan dari adik-adik di sini untuk membaca al Quran,”katanya.

Pihak yang ingin menyumbang kepada pembangunan pendidikan di MPI boleh berbuat demikian menerusi akaun bank 5530 5641 3814 (Maybank Islamic) atas nama Madrasah Pengajian Islam atau menghubungi talian 09 7883878.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber : Utusan, HarianMetro

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here