Kerana Kesempitan Hidup, Penghantar Surat Ini Terpaksa Mengambil Makanan Seperti Gelandangan Untuk Beri Keluarga Dia Makan

“APA salahnya saya mengambil sedikit makanan mereka (gelandangan) kerana saya juga hidup daif,” ujar seorang penghantar surat yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail, 35.

Menurutnya, dia tidak perlu rasa segan berbaris bersama gelandangan di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, untuk mendapatkan makanan kerana menganggap dirinya senasib.

“Saya menyewa PPR di Cheras dengan kadar RM124 sebulan. Namun saya perlu menampung kos rawatan ibu yang menghidap penyakit buah pinggang, menyekolahkan dua anak, pelbagai bil selain perlu menampung perbelanjaan adik di universiti.

“Pendapatan bersih saya hanya sekitar RM1,200 sebulan. Jumlah ini kecil jika dibandingkan dengan beban perlu ditanggung apatah lagi dengan kos sara hidup yang tinggi di KL (Kuala Lumpur),” katanya.

Dia memberitahu isterinya cuba menolong menambahkan pendapatan keluarga dengan membekalkan kuih ke gerai berhampiran.

“Biasanya saya singgah mengambil bungkusan makanan diedarkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atau NGO Dapur Jalanan untuk dibawa pulang untuk anak-anak. Ini membolehkan saya berjimat belanja dapur antara RM50 hingga RM100 sebulan.

“Malah ada ada juga NGO yang mengagihkan sabun, berus dan ubat gigi. Ini adalah rezeki kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, aktivis masyarakat yang juga pensyarah kanan pusat pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, isu gelandangan atau miskin bandar tidak akan selesai selagi masalah ekonomi, peluang pekerjaan dan isu kos sara hidup tidak diselesaikan.

Menurutnya, jika punca ini tidak diatasi, komuniti jalanan akan terus bertambah kerana mereka berasakan ini jalan keluar pada permasalahan.

“Walaupun diakui ada di antara mereka benar-benar daif dan pelbagai program dijalankan kerajaan seperti program Anjung Singgah dan Program Rumah Bimbingan Gelandangan namun ia belum mencukupi bagi mengatasi masalah ini dalam jangka masa panjang.

“Komuniti jalanan ini harus dikategorikan mengikut sebab dan kemahiran asas contohnya bagi membimbing mereka. Agensi Islam serta masjid khususnya juga harus meletakkan sebahagian peruntukan asas untuk membantu golongan ini dengan program jangka panjang,” katanya.

Sumber : HMETRO ONLINE

Be the first to comment on "Kerana Kesempitan Hidup, Penghantar Surat Ini Terpaksa Mengambil Makanan Seperti Gelandangan Untuk Beri Keluarga Dia Makan"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*