Memperlekehkan Bendera Malaysia Perlu Dipandang Serius. Ini Komen Mufti Perlis Dr Maza Tentang Isu Tersebut

Melampau dan mesti diambil tindakan. Demikian tegas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berhubung perbuatan menghina bendera negara oleh pihak yang diberikan kerakyatan.

Menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bertanggungjawab, Mohd Asri berkata, kerajaan seolah-olah sedang dipermainkan sekiranya perbuatan menghina negara itu dibiarkan berterusan berlaku.

“Rakyat akan melihat sejauh mana ketegasan kerajaan terhadap golongan yang diberi peluang hidup dalam negara ini tetapi bersikap menghina negara. “Jika mereka terlepas, ia menunjukkan bahawa kerajaan tidak serius dalam isu sebegini,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya, pada Selasa.

Katanya lagi, kerajaan perlu bertindak tegas dalam menangani isu ini bagi memastikan pengurusan negara dijamin kedaulatannya.

KENYATAAN PENUH MUFTI PERLIS DI FACEBOOK

Penghinaan terhadap bendera negara oleh pihak yang diberikan kerakyatan merupakan satu perbuatan yang sangat melampau yang mesti diambil tindakan. Rakyat akan melihat sejauh mana ketegasan kerajaan terhadap golongan yang diberi peluang hidup dalam negara ini tapi menghina negara. Jika mereka terlepas, ia menunjukkan sama ada kerajaan tidak serius dalam isu sebegini atau kerajaan boleh dipersendakan. Kedua-duanya buruk untuk masa depan sebuah kerajaan yang ingin menguruskan negara secara berdaulat. Kita meminta ketegasan kerajaan hari ini untuk bertindak dalam kes ini.

Pada Isnin malam, tular satu video klip berdurasi 1 minit 42 saat yang memaparkan bendera Malaysia dengan bintang pecah lima dalam satu acara pembukaan perlawanan bola keranjang anjuran Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA).

Klip video yang memaparkan Jalur Gemilang dengan lima bintang bersama logo Westport itu ditayangkan semasa nyanyian lagu Negaraku. Bagaimanapun, pada Selasa, MABA memohon maaf atas kesalahan yang terpapar di bendera Malaysia sewaktu acara pembukaan Kejohanan Bola Keranjang Milo Lum Mun Chak ke-28 itu.

MABA tamat perkhidmatan kontraktor produksi siaran langsung

MABA tamat perkhidmatan kontraktor produksi siaran langsung

Kontraktor produksi siaran langsung pembukaan Kejohanan Kebangsaan Bola Keranjang Piala Lum Mun Chak Bawah 15 Ke-28 ditamatkan perkhidmatan setelah didapati cuai memaparkan Jalur Gemilang yang salah ketika nyanyian lagu Negaraku semalam.

Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Luo Choon Hann berkata, tindakan penamatan kontrak itu diambil selepas siasatan dilakukan pihaknya berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, pegawai eksekutif MABA yang menyedari kesilapan terbabit ketika berlangsungnya upacara perasmian itu dengan segera mengarahkan siaran langsung itu ditamatkan dan video dipadam.

“Terlebih dahulu, saya selaku presiden MABA, ingin memohon maaf kepada semua warganegara Malaysia. Saya ingin menjelaskan bahawa kesilapan ini terjadi apabila pihak kontraktor yang terlibat dengan produksi ‘Iive stream’ ketika pembukaan pertandingan bawah 15 tahun.

“Kami telah menyiasat kejadian ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak kontraktor,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Difahamkan MABA baru setahun menggunakan khidmat kontraktor berkenaan. Beliau berkata, MABA turut memohon maaf kepada semua rakan penaja dan pihaknya amat mengesali kesalahan serta kecuaian tersebut.

Menurutnya, Westports Malaysia juga tidak terlibat dalam perkara itu dan nama baik syarikat Westports hanya dipamerkan secara kekal di skrin dalam stadium.

“Saya juga berharap rakyat Malaysia akan mengampuni pihak kami dan memahami kesilapan ini adalah tidak disengajakan. Kami tidak berniat untuk tidak menghormati Jalur Gemilang dan menyinggung perasaan rakyat Malaysia.

“Saya amat kecewa dengan kesilapan ini dan saya ingin menyerukan rakyat Malaysia supaya tidak menggunakan kesilapan ini sebagai agenda politik atau perkauman,” katanya.

Sumber : ASTRO AWANI