Masa untuk bermuhasabah, tetap jalankan amanah – Zulkifli

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif COV1D-19 semalam, menyifatkan tempoh masa yang ada sebagai peluang untuknya bermuhasabah dan meneliti ruang penambahbaikan.

Beliau juga sekali lagi memohon maaf atas apa yang berlaku.

“Tempoh masa yang dikurniakan pada ketika ini memberi peluang untuk saya bermuhasabah dan meneliti ruang penambahbaikan untuk masa mendatang.

“Saya dari lubuk hati yang benar-benar ikhlas, sekali lagi memohon maaf atas apa yang berlaku,” katanya menerusi status yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya hari ini.

Dalam status sama, Zulkifli turut memuat naik kad laporan bagi bulan Ogos lalu bagi agensi di bawah portfolionya.

Jelasnya, setiap sen yang dibelanjakan bagi sebarang bentuk urusan berkaitan tadbir urus Islam di peringkat Persekutuan adalah amanah daripada rakyat.

“Dalam masa yang sama, ia tetap menjadi amanah dan tanggungjawab buat saya dalam melaporkan sebarang perkembangan tadbir urus hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, setiap bulan sebagaimana yang saya lakukan sejak Mac lalu.

“Justeru, saya lampirkan di sini Kad Laporan Bulan Ogos 2020 bagi agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),” katanya.

Beliau berkata, jadualnya bagi bulan terbabit, kebanyakan tertumpu di Parlimen namun agensi di bawahnya amat memahami dan tetap menggerakkan program masing-masing dengan penuh komited.

Katanya, kad laporan itu tidak melaporkan keseluruhan program dan aktiviti semua agensi di bawahnya dan menyarankan rakyat merujuk terus ke media sosial setiap agensi untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Saya berharap kad laporan bulanan ini dapat memberi gambaran secara umum mengenai apa yang kami laksanakan setiap bulan terutamanya dengan fokus kepada pandemik COV1D-19 pada masa ini.

“Semoga Allah SWT terus memayungi Malaysia dengan rahmat dan kasih sayang-Nya. Insya-Allah Kad Laporan September 2020 akan menyusul,” katanya.

Menerusi kad laporan itu, antara program yang dilaksanakan adalah penubuhan Jawatankuasa TaskForce Menangani Isu Agama di Media Sosial, Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan, Bantuan Musaadah COV1D-19 dan sumbangan ‘food bank’ dan bantuan kepada golongan memerlukan.

 

Sumber : Berita Harian