Luahan hati Naqiu menerusi Sinar Kedua

KUALA LUMPUR: Lagu Sinar Kedua umpama simbolik kepada titik permulaan kerjaya solo juara program realiti, Gegar Vaganza (GV) musim keenam, Naqiu.

Selepas hampir sedekad menghilangkan diri, kemunculan Naqiu atau nama sebenarnya, Wan Naqiuddin Mohd Najib menerusi program GV6 membawa lebaran baharu buat kerjaya seninya.

Selepas hampir 12 tahun tidak muncul dengan lagu baharu, single Sinar Kedua ciptaan dan lirik oleh Naqiu mencatat lebih setengah juta tontonan menerusi laman YouTube, MVM Production sejak dilancarkan pada 23 Mac lalu.

“Lagu Sinar Kedua berkaitan dengan diri saya. Ia adalah luahan rasa saya terlalu menghargai peluang kedua yang diberikan selepas hampir 10 tahun men1ngg4lkan dunia nyanyian. Saya terharu melihatkan sokongan luar biasa peminat walaupun nama saya sudah lama lenyap daripada industri.

“Selain penghargaan untuk peminat, lagu ini menceritakan pengalaman hidup saya selama ini. Saya tuju khas buat ibu tersayang. Sinar Kedua ciptaan dan lirik ditulis sepenuhnya oleh saya.

“Idea untuk muzik saya peroleh ketika dalam GV6, manakala liriknya pula dihasilkan selepas program berakhir. Tempoh menyiapkan melodi dan lirik dihasilkan tidak sampai tiga jam,” katanya kepada BH Online.

Naqiu berkata, dia menghasilkan lagu dan lirik kerana pernah menyesal tidak mengambil peluang berkenaan ketika bersama kumpulan Boboy.

“Jadi, saya tak mahu mempersia-siakan peluang kedua yang diberikan. Saya mahu mengetengahkan bakat sebagai komposer dan penulis lirik,” katanya yang turut bersedia bergelar pelakon.

Mengulas masa terluang ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Naqiu berkata, dia menggunakan kesempatan melayan lima permata hatinya, apatah lagi jadual terlalu padat hingga tidak mempunyai masa terluang bersama mereka selepas GV6.

“Saya menganggap tempoh PKP sebagai hikmah dapat membayar semula masa bersama anak-anak. Sebelum ini, saya terlalu sibuk dengan kerja, jadi inilah masanya saya menebusnya.

“Jika tidak kerana PKP, mungkin saya masih lagi sibuk dengan pelbagai urusan. Secara kebetulan, mereka tidak sekolah, jadi inilah peluang keemasan yang digunakan melayan mereka.

“Dalam masa sama, saya menghasilkan lagu baharu untuk diri sendiri,” katanya.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber : BH Online