Nelydia tak tertekan belum hamil

KUALA LUMPUR: Memasuki usia setahun perkahwinan, pelakon, Nelydia Senrose hanya menyerahkan rezeki untuk memiliki cahaya mata pada ketentuan takdir.

Baginya, tiada tempoh tertentu diletakkan untuk menanti kehadiran cahaya mata. Cepat atau lambat, dia terima dengan hati yang terbuka.

“Saya dan suami, Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid tidak pernah merancang, cuma belum rezeki. Segala-galanya atas ketentuan Allah SWT.

“Jujurnya, pasangan suami isteri mana yang tidak menantikan kehadiran cahaya mata dalam rumah tangga. Saya dan suami sangat mengharapkan zuriat.

“Cuma, kami tidak mahu terburu-buru. Kami menjalani kehidupan rumah tangga seperti biasa, tanpa rasa tertekan,” katanya kepada BH Online.

Nelydia berkata, rezeki di tangan Tuhan, andainya belum tiba, dia dan suami reda dan sabar,

“Lagi pun, kami berkahwin tidak sampai setahun, mungkin ada baiknya kami menikmati fasa kehidupan baharu dan bulan madu terlebih dahulu,” katanya yang kini mengusahakan perniagaan barang kemas, Nelydia Jewels.

Pelakon drama Lelakimu Yang Dulu itu berkata, dia lebih suka menikmati setiap momen yang dilalui bersama suami sebaik mungkin.

“Ia seperti sepanjang masa fasa berbulan madu. Kami mahu nikmati hubungan berdua sepuasnya. Kami banyak melakukan kerja bersama termasuk memasak.

“Malah, saya sempat berbulan madu ke Jakarta, Tokyo, Hawaii, Las Vegas, New York dan Jepun bersama suami, tahun lalu. Lebih sebulan kami mengembara berdua menikmati lokasi indah.

“Seronok dapat menghabiskan masa berdua dari satu lokasi ke lokasi lain. Memang memenatkan, tetapi momen inilah menjadi ruang untuk lebih mengenali antara satu sama lain,” katanya.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber : BH Online