Bapa anak satu tak segan kongsi kisah bantal busuk usang, isteri siap suruh buang – “Anak lelaki saya main, tiba-tiba terkoyak… ”

BANTAL busuk cukup sinonim dengan kanak-kanak. Ke mana saja pasti akan dibawa bersama, pantang tinggal boleh haru-biru jadinya.

Namun perkongsian seorang bapa anak satu mendedahkan dirinya masih lagi menggunakan bantal busuk yang sudah berusia 25 tahun sehingga hari ini menjadi tular di media sosial.

Perkongsian Andrew Chua mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

“Sedap bau tu bagi orang yang ada bantal busuk,” tulis Izzatul.

“Kita sama bro. Saya dari umur 12 tahun dan sampai sekarang umur dah 38 tahun. Kalau nak tidur kena ada bantal busuk. Anak-anak pun tahu bantal busuk mama dia orang tak main… tak boleh tidur tanpa bantal busuk,” kata Azlin Auni.

Bantal busuk Andrew kini sudah berusia 25 tahun.

Pemuda berusia 34 tahun itu ketika dihubungi mStar berkata, bantal busuk itu ibarat nyawanya kerana ia peninggalan mendiang neneknya, Cheng Kim Moi.

“Bantal itu satu-satunya barang peninggalan nenek yang amat menyayangi saya. Jadi bantal ini ibarat nyawa saya.

“Dia sudah meninggal dunia lebih 10 tahun lalu tapi bantal ini membuatkan dia seolah-olah ada dekat dengan saya,” katanya.

Jelas Andrew lagi, isterinya, Emily Lai tidak begitu menyukai bantal busuknya itu kerana keadaannya yang sudah bertukar warna.

“Isteri saya tak suka. Malah bantal tu tak boleh cross the line. Once cross, matilah saya. Bantal itu pernah je cross the line tapi dia tak sedar.

“Dia juga tak bagi anak saya sentuh bantal tu. Tapi anak saya suka. Kadang-kadang bila isteri saya tak ada dirumah saya akan beri dia main dengannya,” kata Andrew.

Andrew ketika berusia dua tahun bersama mendiang neneknya.

Namun Andrew berkata bantal kesayangannya itu terkoyak betul-betul di bahagian tengah selepas anaknya bermain dengan bantal tersebut.

“Anak lelaki saya bermain dengan bantal busuk tu kemudian ia tiba-tiba terkoyak.

“Jadi saya cuba minta ibu dan isteri saya untuk baiki tapi sarungnya sudah menipis dan susah dijahit semula. Mereka suruh saya buang saja,” katanya.

 

Walaupun orang geli tengok bantal tu tapi bagi saya bantal tu ada keistimewaan tersendiri dan berwarna-warni. ANDREW CHUA.

Susulan itu, Andrew menggunakan bantuan sebuah kedai jahit profesional di Kuala Lumpur untuk menyelamatkan bantal kesayangannya itu.

“Sudah tentu saya takkan buang. Kemudian saya curi-curi bawa keluar untuk repair. Saya ke sebuah kedai jahit yang baru dibuka di Setapak Central untuk repair.

“Mula-mula mereka terkejut. Nasib baiklah tukang jahit tu profesional. Akhirnya bantal saya berjaya diupgrade dengan satu lapisan tambahan lain di dalam untuk memastikan ia tidak mudah terkoyak lagi,” katanya.

Gambar terbaharu bantal busuk (kanan) Andrew yang sudah diupgrade.

Bercerita mengenai bantal busuknya itu, Andrew berkata dia sukar melelapkan mata tanpa bantal tersebut.

“Saya susah nak tidur tanpa bantal busuk saya. Saya sentiasa bawa ke mana saja kerana ia ada nilai sentimental dalam diri saya.

“Walaupun orang geli tengok bantal tu tapi bagi saya bantal tu ada keistimewaan tersendiri dan berwarna-warni,” katanya dalam nada berseloroh.

Sementara itu, Andrew berkata dia tidak menduga perkongsiannya sekadar suka-suka itu akan menjadi tular di media sosial.

“Saya tak expect viral. Saya hanya mahu berkongsi kisah bantal busuk saya dengan orang lain.

“Hargailah apa sahaja yang ditinggalkan seseorang yang anda sayang untuk kamu,” katanya.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber: MSTAR