Hari pertama sekolah: Indah khabar dari rupa

KUALA TERENGGANU: Keterujaan 110 murid Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Wakaf Mempelam, di sini, memulakan hari pertama persekolahan, bermula suram apabila sekolah itu tidak dilengkapi kemudahan bekalan air dan elektrik.

Tinjauan di sekolah berkenaan yang beroperasi di blok bangunan rumah kedai berhampiran Pasar Chabang Tiga di sini, mendapati murid terpaksa berhimpun dalam kelas yang panas dan gelap kerana kurang pencahayaan berikutan ketiadaan bekalan elektrik.

Malah, pengurusan sekolah juga terpaksa menyediakan air yang ditakung dalam bekas besar untuk kegunaan murid ke tandas dan mencuci tangan di kantin sebelum makan sarapan.

Ciri keselamatan SRIDI itu yang baru berpindah daripada lokasi sebelum ini di bangunan Yayasan Islam Terengganu (YIT) Losong di sini, juga dipertikaikan ibu bapa yang bimbang keselamatan anak mereka, berikutan kedudukan sekolah terletak berhampiran jalan raya, sungai dan Pasar Chabang Tiga.

Suasana persekolahan di sekolah itu bermula agak ‘panas’ dan tegang berikutan ibu bapa tidak berpuas hati dengan keadaan itu, yang menjejaskan sesi pembelajaran dan mengundang risiko keselamatan serta keselesaan anak mereka yang belajar di situ.

Seorang ibu, Norlidawahi Wahab, 50, berkata dia kecewa dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yang menguruskan sekolah berkenaan dan gagal menyediakan kemudahan asas sepatutnya, terutama aspek keselamatan murid.

“Lihat sahajalah keadaan sekolah ini. Hari ini murid memulakan persekolahan di lokasi baru, namun tiada kemudahan elektrik dan air. Bagaimana murid mahu belajar dalam keadaan kelas yang panas kerana tiada bekalan elektrik dan air untuk ke tandas?

“Pihak JHEAT juga mengambil mudah isu keselamatan murid. Kedudukan sekolah bersebelahan Pasar Chabang Tiga menjadikan suasana pembelajaran tidak kondusif kerana faktor kebersihan,” katanya yang menghantar anak belajar di Tahun Tiga di situ.

Pensyarah di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu tidak faham bagaimana JHEAT gagal menyediakan prasarana dan kemudahan asas untuk sekolah itu, sedangkan tempoh setahun untuk membuat persiapan dan persediaan sebelum berpindah lokasi sudah cukup panjang.

Katanya, dia menghantar anaknya belajar di sekolah itu yang sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Rendah Agama Yayasan Islam Terengganu (SRAYIT) dan dikendalikan YIT kerana tertarik dengan silibus pembelajaran yang lengkap termasuk penekanan dalam bidang agama, namun tidak menyangka selepas diambil alih JHEAT sejak setahun lalu, pemindahan ke lokasi baharu tidak diuruskan dengan baik.

Mohd Khairul Khahar Ismail, 36, yang menghantar anaknya belajar di Tahun Dua terkejut melihat keadaan sekolah yang longgar ciri keselamatan, selain tidak dilengkapi kemudahan elektrik dan air sehingga pihak sekolah terpaksa menangguhkan sesi persekolahan hari ini.

“Kawasan sekolah ini terletak berhampiran sungai dan jalan raya, tetapi tiada khidmat pengawal keselamatan atau pagar yang dipasang untuk memastikan keselamatan murid. Sesiapa saja bebas keluar masuk ke kelas terutama ketika ketiadaan guru dan ia menyebabkan ibu bapa bimbang keselamatan anak.

“Malah, di sekolah ini ada murid hiperaktif dan kita bimbang keselamatannya sekiranya murid itu tiba-tiba berlari keluar kelas menuju ke jalan raya atau sungai berhampiran yang boleh mengancam keselamatan murid. Sebagai bapa saya amat kecewa melihat keadaan sekolah ini,” katanya.

Kerani yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Fazli, 38, berkata dia bimbang keselamatan dan keselesaan dua anaknya yang belajar di Tahun Satu dan Tahun Tiga di sekolah itu dan berharap pihak JHEAT segera membaiki kelemahan yang ada demi kesejahteraan murid.

Sementara itu, Penolong Kanan Pesuruhjaya Pengurusan Akademik Peperiksaan dan Penilaian JHEAT, Toh Puan Aida Tengah, berkata persekolahan SRIDI Wakaf Mempelam akan ditangguhkan sehingga Ahad sehingga isu kemudahan asas di bangunan itu selesai.

Penubuhan SRIDI adalah antara manifesto PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, iaitu menyediakan sekolah rendah Islam di semua 32 kawasan Dewan Undangan Negeri Terengganu secara berperingkat dalam tempoh lima tahun, termasuk dengan mengambil alih SRAYIT daripada YIT untuk diuruskan oleh JHEAT.

Pada 2018, SRIDI beroperasi di enam lokasi iaitu di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun, Ajil (Hulu Terengganu), Binjai Rendah (Marang), Manir (Kuala Nerus) serta Kampung Raja (Besut).

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber: BH ONLINE