Minta ‘sponsor’ pun jadi isu – Yana Samsudin

KUALA LUMPUR: Pelakon, Yana Samsudin, menganggap isu meminta tajaan bagi pembikinan filem Kak Yong menerusi Facebook (FB) yang tular di media sosial, beberapa hari lalu sebagai perkara lumrah dalam dunia penerbitan.

Katanya, bukan kesalahan untuk sesebuah produksi mencari penaja menjayakan sesuatu projek kerana kerjasama itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Kami bukan mahu ambil kesempatan, sebaliknya memberi peluang kepada pihak lain untuk menjalin kerjasama, sekali gus mengukuhkan jenama mereka.

“Memang apabila ada tajaan, ia dapat mengurangkan pelbagai kos. Saya tidak rasa Pembantu Pengurus Produksi (PM) kami yang berkongsi hebahan di dalam grup itu melakukan kesilapan kerana kami memang menjalani penggambaran terakhir di Yong Peng, Johor pada tarikh terbabit.

“Sebelum ini, ramai pihak yang berminat menaja, termasuk pengusaha makanan, rumah inap dan sebagainya kepada pasukan produksi kami. Apabila diuar-uarkan, sekurang-kurangnya kami dapat mengelak daripada melakukan pembaziran,” katanya.

Terdahulu, tangkap layar status Pembantu PM filem terbabit yang meminta tajaan dalam grup penduduk Yong Peng di FB tular, malah ia turut dikongsi penggiat seni yang mengecam apabila mereka dikatakan cuba mengambil kesempatan atas penduduk kampung.

Yana yang bertindak sebagai Penerbit Eksekutif untuk filem sulung terbitan syarikat produksi milik suaminya, Prokuya Studio itu berkata, dia tidak terkesan dengan komen orang luar, namun lucu apabila penggiat industri turut memperlekehkan inisiatif mereka.

“Saya pelik apabila rakan dalam industri turut menyebar dan memberikan pelbagai komen negatif. Mereka seolah-olah memperlekehkan usaha kami mencari penaja, sedangkan ia perkara biasa dalam dunia produksi.

“Kami mempunyai bajet untuk keseluruhan pembikinan filem itu, tetapi kerjasama dengan pengeluar produk atau penyedia perkhidmatan itu lebih kepada situasi menang-menang.

“Setiap penaja akan mendapat pulangan dan kami dapat membantu mereka dari sudut penjenamaan. Paling penting, bagaimana kerjasama itu dapat membantu produksi dan penaja berkembang seiring penjenamaan,” katanya.

Kak Yong yang diarahkan Ismail Bob Hashim turut membariskan Didie Alias, Taiyuddin Bakar, Boy Iman dan Asha Zainul sebagai pelakon.

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber: BERITA HARIAN ONLINE