Selepas Diasak Oleh Pembangkang, Menteri Pembangunan Usahawan Mendedahkan Sesuatu Tentang Kereta Terbang Pertama Malaysia

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah memperuntukkan dana AS$30 juta kepada syarikat swasta yang menerajui usaha membangunkan teknologi kereta terbang di Malaysia.

Menegaskan perkara itu, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, menyifatkan spekulasi liar yang disebarkan kepada orang ramai itu amat tidak berasas.

TIADA DANA DARI KERAJAAN

“Tidak betul. Kosong (dana diberikan kerajaan),” katanya apabila diasak beberapa Ahli Parlimen pembangkang ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Penjelasan itu dipercayai merujuk kepada kenyataan pemaju sistem pengangkutan udara tempatan, Aerodyne Group, yang mengumumkan satu pusingan pelaburan Siri B bernilai AS$30 juta (RM125.62 juta), diketengahkan pada 16 Oktober lalu.

Bangun mencelah pada sesi jawab lisan tanpa memohon kebenaran mengusulkan soalan tambahan, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak), mendesak perincian mengenai kesahihan dakwaan kerajaan menyalurkan AS$30 juta bagi membangunkan ‘kereta terbang’.

Walaupun isu terbabit tidak ditimbulkan dalam soalan tambahan atau sesi jawab lisan, Mohd Redzuan tetap memberi penerangan berhubung polemik kereta terbang.

“Saya ingin mendidik masyarakat, selain memberikan pendedahan mengenai Dasar Keusahawan Nasional (DKN) 2030,” katanya.

Menerusi dasar terbabit, beliau berkata, antara teras strategik yang digariskan ialah pembangunan industri penerbangan, aeroangkasa dan pergerakan udara, termasuk hasrat membina prototaip pertama kereta terbang di Malaysia.

Kerajaan tidak pernah memperuntukkan dana AS$30 juta kepada syarikat swasta yang menerajui usaha membangunkan teknologi kereta terbang di Malaysia. – Ihsan Eastcap Bhd

Jelas tidak berpuas hati dengan penerangan itu, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) mempertikaikan apa yang ingin dibangunkan kerajaan dan dicanang kepada masyarakat ketika ini bukan kereta terbang, sebaliknya sekadar dron.

Tajuddin turut mencelah dan berkata: “Menteri Pengangkutan kata itu dron, bukan kereta terbang.”

Tampil tenang dan sempat melakar senyuman sebelum mengemukakan penjelasan, Mohd Redzuan berkata, kekeliruan berikutan percanggahan pendapat mengenai takrifan kereta terbang bukan isu besar yang harus dipanjangkan.

“Panggillah apa pun. Dron, kereta terbang, vektor atau kereta aeroangkasa, semuanya berbalik kepada mobiliti udara, iaitu sebahagian daripada teras strategik DKN 2030.

“Masyarakat seluruh dunia tidak menggelarkan dron, mereka panggil ‘flying dummy’ atau AUV (kenderaan tanpa pemandu), justeru kita kena jadi pendengar baik untuk memahami fungsi seluruh industri,” katanya.

Belum sempat menghabiskan penjelasan, blok pembangkang berterusan bangkit ‘menyerang’ menteri enggan menerima rasional kereta terbang, malah Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mendakwa polemik isu itu baru-baru ini sebagai cubaan sabotaj oleh DAP.

Kelihatan bingung dengan tuduhan melulu sedemikian Mohd Redzuan secara tuntas berkata: “Saya tidak pandang begitu.”

Selepas meleret hampir 10 minit, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, mengusulkan supaya Ahli Parlimen yang mempunyai prasangka terhadap kereta terbang boleh menyertai rombongan ke sesi pandu uji, esok.

“Saya rasa berhenti sinilah, menteri jawab soalan asal, siapa yang musykil, esok ikutlah menteri tengok,” katanya disahut tawa kalangan ahli dewan.

Sumber : BHARIAN ONLINE