“Kalau bercakap soal kahwin, Tinggal lagi nak bagi tarikh jee .”- Qi Razali

PELAKON dan pengacara, Qi Razali memberi bayangan bakal mengakhiri zaman solo dengan kekasihnya yang juga model, Nia Atasha Rosli, 23, tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Qi atau nama sebenarnya Qushairi Mohammed Razali, 42, berkata, dia dan Nia merancang bertunang terlebih dahulu.

“Kalau bercakap soal kahwin, apa boleh dikatakan ia semakin hampir. Malah, pendekatan diambil sekarang pun ke arah ini. Selama ini saya ada sasaran. Apatah lagi sekarang saya sudah berpunya dan kami selesa bersama.

“Keluarga kami pun sudah berjumpa. Dia pun ada akal, arah tuju dan impian sendiri. Tinggal lagi nak bagi tarikh. Cuma, sekarang kami buat satu persatu.

“Insya-Allah nak bertunang dahulu tahun ini. Kalau dapat melangsungkan perkahwinan tahun depan lagi bagus. Ikutkan nak buat majlis kecil-kecilan dulu membabitkan keluarga saja,” katanya.

Qi yang juga bekas pengacara program Jalan Jalan Cari Makan berkata, meskipun majlis dirancang serba sederhana, ia tidak boleh dipandang ringan.

Bagi Qi, perkahwinan adalah perkara serius dan membabitkan banyak perkara. Tidak ada istilah ambil mudah.

“Memang ramai cakap buat majlis kecil-kecilan dahulu. Bagi saya, bukan masalah majlis kecil atau besar tetapi ini membabitkan perkahwinan.

“Ia sesuatu yang tak boleh dibuat main. Pada masa sama, tidak boleh ikut cakap saya saja. Kena ada perbincangan bersama,” katanya.

Qi yang sudah lebih dua tahun menjalin hubungan dengan Nia mengakui cemburu melihat abang dan rakan sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.

“Tengok abang sudah ada dua anak memang teringin. Saya nak juga melalui fasa bahagia seperti orang lain.

“Saya pun sudah lama hidup bujang, jadi mungkin ini waktu sesuai apatah lagi pada usia ini,” katanya.

LAGU DAN ALBUM

Berkongsi mengenai kerjaya muzik, Qi yang juga pemain dram kumpulan OAG berkata, mereka bakal melancarkan single Infiniti bulan ini.

Single itu juga bakal dimuatkan dalam mini album yang mengandungi enam lagu termasuk satu lagu Inggeris.

“Lagu ini sudah lama dibuat. Ia mengenai kisah cinta yang tak berpenghujung. Lagu ini dimuatkan dalam album EP kami yang mengandungi enam lagu.

“Insya-Allah ia akan dilancarkan bulan depan tetapi single ini keluar dulu dalam waktu terdekat. Sebagai permulaan, lagu ini dilancarkan di semua platform digital dahulu. Kami juga akan lancarkan spotify rasmi OAG di bawah kendalian kami.

“Alhamdulillah, selepas kali pertama kami menyanyikan lagu ini secara eksklusif di program RTM baru-baru ini, ramai tanya dan cari di Youtube. Saya anggap ia permulaan bagus untuk lagu ini,” katanya.

Perkembangan lain, Qi berkata dia kini terbabit dengan penggambaran drama 20 episod, Bulan Di Kota Langit.

“Saya kembali berlakon tetapi pada masa sama masih buat kerja lain juga. Drama ini projek kerjasama RTM dan Indonesia.

“Jalan cerita drama ini ada kena mengena dengan dua negara. Saya melakonkan watak pembantu sahaja. Saya menolak watak utama sebab tak boleh berikan komitmen untuk 20 episod.

“Kalau perasan, imej wajah pun tukar sikit iaitu tinggal misai sahaja. Janggut dan jambang kena cukur demi watak itu,” katanya.

Selain itu, Qi turut dilantik menjadi duta jenama minuman kopi terkenal, Cofee Bean selepas mengadakan beberapa siri kerjasama sejak dua tahun lalu.

“Saya mula bekerjasama dengan mereka sejak tahun lepas tetapi ketika itu belum ada apa-apa perancangan besar.

“Selepas buat beberapa acara dan program mengait cawan, terus mereka terima idea itu. Sejak itu, mereka terus melantik saya menjadi duta,” katanya.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber: Harian Metro