Dua Beradik Jual Nasi Lemak Terpaksa Tebal Muka Setiap Kali Pelanggan Beri Duit Besar

DUA beradik tidak menyangka gerai nasi lemak yang diusahakan di tepi jalan diberi wang palsu ketika dikunjungi seorang individu yang tidak berhati perut.

“Pencuri datang beli nasi lemak dan kuih sebanyak RM12. Pencuri bagi duit RM102. Jadi untung kotor pencuri RM90 tambah RM10 harga nasi lemak, duit betul RM2 je,” menurut perkongsian seorang wanita di laman sosial Facebook sehingga menjadi tular.

Wanita berkenaan, Siti Ruhaizah Hamzah berkata, kejadian berlaku di gerai nasi lemaknya di jalan berhadapan sebuah kedai serbaneka di Taman Equine, Seri Kembangan, Selangor pada Khamis lalu.

Peniaga berusia 40 tahun itu memberitahu, ketika itu dia dan adik perempuannya sedang melayan beberapa pelanggan termasuk seorang lelaki yang memberikan wang kertas RM100 untuk membeli sejumlah nasi lemak dan kuih.

“Pelanggan tu bagi wang kertas RM100 kat adik saya. Biasanya kami tak terima sebab besar sangat jika dibandingkan dengan harga nasi lemak yang dibeli.

“Sama ada kami minta pelanggan tukarkan dulu dan beri duit kecil atau kami kata boleh bayar lain kali terutama kepada regular customer,” katanya kepada mStar.

Siti Ruhaizah berkata, adiknya yang berusia 39 tahun secara kebetulan mempunyai wang lebih kecil untuk ditukarkan tetapi membuat semakan dengan mata kasar mengenai ketulenan wang berkenaan.

“Kami sempat semak nampak ada bayang-bayang imej Yang di-Pertuan Agong (pertama), jadi kami terima dan pelanggan tu masuk dalam kereta,” ujar ibu empat anak itu.

Namun tidak berapa lama kemudian katanya, dia menyedari wang kertas tersebut mempunyai kesan kopek dan di bahagian dalamnya hanyalah kertas kosong.

“Adik kejar lelaki tu tapi dia dah masuk kereta. Sempat ketuk pintu kereta berkali-kali tapi tidak diendahkan. Rasanya dia tahu itu adalah wang kertas palsu.

“Dia terus pandu kereta laju tak pedulikan adik saya yang ketuk pintu keretanya. Lelaki tu berusia dalam awal 30an, orangnya tinggi, kurus dan berkulit gelap,” katanya sambil menambah laporan polis tidak dibuat kerana tidak dapat mengecam butiran penuh nombor pendaftaran kenderaan pemandu terbabit.

Menurut Siti Ruhaizah, insiden tersebut pertama kali berlaku sejak dia mengusahakan gerai nasi lemak di kawasan sama pada 2014.

Dia yang berasal dari Seri Kembangan kesal dengan tindakan lelaki berkenaan keranavtergamak menipu peniaga kecil dengan menggunakan taktik membeli makanan.

“Saya terkilan sebab dia sanggup tipu kami peniaga kecil. Kami berniaga bukannya untuk untung besar, kadang-kadang tak banyak untung terutama semasa hujan lebat.

“Walaupun hari tu semua nasi lemak licin habis dijual tapi kami tetap rugi sebab tak dapat balik modal selepas ditipu lelaki berkenaan,” ujarnya dengan nada kesal.

Rentetan kejadian itu, kedua-dua mereka menjadi fobia keesokan harinya terutama setiap kali menerima wang daripada pelanggan.

“Wang kertas RM20 pun kami jadi fobia, takut kalau duit tu pun palsu. Walaupun terkilan, kami anggap pengalaman ditipu sebagai ujian berniaga dan menjadikannya sebagai pengajaran.

“Lepas ni kami akan lebih berhati-hati. Kalau ada pelanggan bagi duit besar, sama ada kami minta pelanggan tukar dulu atau kami sendiri tukarkan dan tebalkan muka kat kedai serbaneka untuk periksa duit tu palsu ke tak,” katanya.

Sumber : MSTAR ONLINE