Mahkamah Mendedahkan Berapakah Gaji Sebulan Bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi menerima gaji dan elaun berjumlah RM44,383.15 sebulan untuk jawatan itu dari Jul 2015 hingga Mei 2018.

Setiausaha Bahagian (Hal Ehwal Perlembagaan dan Parlimen) di Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan di Jabatan Perdana Menteri, Daman Huri Nor berkata, semasa memegang jawatan itu sejak 28 Jul 2015 hingga 9 Mei 2018, Zahid menerima gaji hakiki RM18,168.15 sebulan manakala elaun RM26,215.

Katanya, gaji hakiki yang diterima Zahid sebagai menteri dalam negeri bermula 16 Mei 2013 sehingga 27 Jul 2015 RM14,907.20 manakala elaun yang diperoleh sebanyak RM24,320.

“Elaun-elaun yang diterima beliau berdasarkan ketentuan elaun dan keistimewaan bagi timbalan perdana menteri dan menteri persekutuan (pindaan hingga Nov 2014),” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Alif Ali.

Daman Huri berkata demikian semasa membacakan penyataan saksi pada hari ke-12 perbicaraan kes Zahid, yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit.

Saksi pendakwaan ke-22 itu turut mengecam dokumen perakuan tentang kedudukan atau jawatan dipegang Zahid yang dikemukakan kepadanya oleh Alif.

Sementara itu, saksi lain, Ketua Pegawai Eksekutif Armada Holdings Sdn Bhd, Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr Ahmad tidak bersetuju dengan cadangan peguam Rosal Azimin Ahmad bahawa pinjaman dana Yayasan Akalbudi RM10 juta kepada syarikat Armada Holdings Sdn Bhd untuk pelaburan.

Rosal: “Setuju jika saya kata pelaburan ini bertujuan untuk mendapatkan keuntungan kepada Yayasan Akalbudi?”

Wasi: “Tidak setuju.”

Wasi juga tidak bersetuju dengan cadangan Rosal bahawa Zahid mempunyai kepentingan dalam syarikat Armada Holdings Sdn Bhd.

Semalam, Wasi berkata Zahid meminjamkan dana Yayasan Akalbudi RM10 juta kepada syarikat Armada Holdings Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat pengimport dan pembekal arang batu selepas diperkenalkan oleh Khalid Mohamad Jiwa.

Saksi pendakwaan ke-21 itu berkata pinjaman itu untuk pihaknya perlu modal berbayar RM10 juta sebagai memenuhi syarat minimum berdaftar untuk pembekal arang batu Indonesia bagi kontrak spot TNB Fuel Services Sdn Bhd.

Zahid, 66, menghadapi 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), 8 bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 11 Feb depan.

Sumber : FreeMalaysiaToday