“Boleh Masuk Le Tour De Langkawi Dah Ni Tokti…” – Berkongsi Hobi, Dato’ Siti Buat Peminat Kagum

Menurut Siti, aktiviti itu mampu meningkatkan stamina yang membantu­nya kekal bertenaga dalam setiap persembahan dijayakan.

“Aktiviti ini sudah menjadi rutin dan hobi saya bersama suami. Ada saja waktu terluang, suami akan ajak berbasikal. Kebiasaannya kami ke Putrajaya. Paling susah setakat ini di kawasan Bukit Hantu, Hulu Langat.

“Apabila berbasikal, ia sedikit sebanyak dapat meningkatkan stamina. Pada masa sama, dapat berkenalan dengan kawan baru dan kami saling membantu. Ramai sukakan aktiviti ini.

“Setakat ini rekod paling jauh saya pernah berbasikal 30 kilometer. Kita akan dapat satu kepuasan yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Paling penting, sewaktu berbasikal juga saya dapat rasakan kebebasan dan menjadi diri sendiri. Ketika itu saya bukan artis,” katanya.

Pada masa sama, pe­nyanyi lagu Anta Permana itu berkongsi pengalaman berdepan pelbagai cabaran seperti sesat dan terjatuh ketika berbasikal.

“Sebenarnya sudah lama saya berbasikal iaitu sejak zaman remaja lagi namun terhenti lama iaitu kira-kira 20 tahun. Apabila kembali aktif, memang agak mencabar.

“Ditambah pula saya jarang memandu. Jadi, tidak arif dengan selok-belok jalan. Saya pernah sesat sebab terlebih laju daripada kumpulan lain. Malah, saya pernah juga terjatuh tetapi tidak alami kecederaan serius.

“Apabila kembali aktif berbasikal, saya terfikir juga nak buat aktiviti bersama peminat. Ramai selalu bertanya dan ingin turut serta. Insya-Allah, kita akan rancang nanti,” katanya.

Jadual kerja padat

Selesai penganjuran Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour di tiga negara, jadual Siti padat dengan pelbagai aktiviti yang sudah diatur.

Jika minggu lalu Siti terbabit dalam Konsert Sentuhan Kasih Diraja Perlis, terbaru, Siti dipilih menjayakan acara Makan Malam Amal sempena Karnival Mahabbah 1.0 bersama Hij­jaz yang akan berlangsung pada 24 April ini di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak.

Karnival yang berlangsung selama lima hari bermula 24 April itu anjuran Masjid Muhibbuddin Shah, Ipoh, Perak bagi mengumpul dana perbelanjaan masjid dan aktiviti sepanjang Ramadan nanti.

“Saya anggap ini rezeki. Sebenarnya, sebelum konsert lagi beberapa persembahan lain sudah disusun. Makan malam amal ini pada awalnya kita tangguh kerana tarikh yang dipilih saya dijadual mengadakan konsert di Royale Albert Hall London.

“Namun apabila konsert itu ditunda pada tarikh yang belum ditetapkan, jadi persembahan ini diteruskan. Pada masa sama, saya anggap ini kesempatan terbaik untuk bertemu peminat di utara tanah air.

“Banyak aktiviti bermanfaat sepanjang karnival berlangsung dan saya berharap acara makan malam amal ini mendapat sambutan. Sesuai dengan penganjuran karnival, corak persembahan saya nanti berkonsepkan kerohanian atau lagu yang mengandungi mesej baik. Tidak kira genre apa pun, asalkan berunsur ketuhanan supaya saya dapat variasikan persembahan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti bakal merakamlan single terbaru berkonsepkan ketuhanan yang turut meng­gabungkan penyanyi dari Indonesia dan Singapura.

“Ia adalah projek Universal Music dan Apple Music dengan menggabungkan tiga penyanyi dari Malaysia, Indonesia dan Singapura.

“Jika tiada aral kami akan masuk studio pertengahan bulan ini dan dilancarkan sempena Ramadan ini,” katanya.

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber: Metro