Dedah Bakal Buka Restoran, Sugu Pavithra Bangga Dipetik Dalam Ucapan PM

Pada petang Jumaat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat pengumuman tentang Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA) yang bertujuan untuk membangunkan semula ekonomi negara berikutan PKP.

Namun salah satu perkara yang menarik perhatian adalah apabila TSMY memetik nama youtuber masakan, Sugu Pavithra

Seperti yang ramai tahu Pavithra serta suaminya M. Sugu telah menawan hati rakyat Malaysia kerana kesungguhan dan sikap rendah diri mereka dalam berkongsikan resipi serta kemahiran memasak di saluran YouTube mereka.

Dalam ucapan itu, TSMY berkongsikan bagaimana beliau dijemput pasangan tersebut ke rumah untuk merasa nasi Briyani mereka. TSMY juga meluahkan harapan agar mereka dapat mengasah kemahiran dan membuka restoran suatu hari nanti.

Pavithra berkata dia tidak menyangka akan diberi penghormatan oleh PM dalam ucapannya dan menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang dapat dibanggakan.

Pasangan itu juga mendedahkan rancangan mereka untuk membuka restoran pada tahun depan, dan selepas nama mereka disebut oleh PM dalam ucapan secara langsung, mereka tidak sabar untuk menjadikan cita-cita itu sebagai realiti.

Pavithra turut mengucapkan terima kasih kepada TSMY kerana memetik Youtube mereka secara khusus walaupun mereka hanya orang biasa.

Pada ketika ini wanita berusia 28 tahun itu cuba menumpukan kepada membuat demonstrasi masakan menu tradisional di saluran Youtube miliknya dua kali seminggu.

Walaupun merasakan diri tidak begitu pandai memasak, sejak menerima banyak komen positif dia bersama suaminya yang berusia 29 tahun cuba untuk berkongsikan lebih banyak resipi sendiri. Namun apa yang penting bagi mereka adalah untuk berkongsikan keseronokan memasak dengan penonton.

Kenali Sugu Pavithra, Youtuber Yang Mencuri Hati Rakyat

Adakah anda suka memasak sama seperti anda menikmati makanan yang anda masak? Jika ya, disini ingin kami kongsikan tentang seorang youtuber yang pasti akan membuatkan anda jatuh cinta!

Saluran youtube Sugu Pavithra telah mendapat banyak perhatian rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat. Sugu Pavithra adalah gabungan namanya bersama suami Sugu, mereka tinggal di pedalaman Sungai Siput, Perak, dan ini langsung tidak menghalang mereka untuk menjadi salah satu saluran masakan yang paling banyak pengikut ketika ini.

Berkat kefasihan berbahasa melayu yang sangat baik dan comel, Pavithra telah berjaya menembusi pasaran Melayu. Beberapa akhbar tempatan juga telah banyak menulis tentang kisahnya. Resipi-resipi  yang dihasilkan oleh suri rumah ini mudah diikuti kerana menjelaskan langkah demi langkah dengan begitu terperinci dan mudah untuk difahami.

Pavithra dan suaminya Sugu hanya melibatkan diri dengan Youtube pada Januari tahun ini dan menyiarkan video masakan sejak dari awal lagi. Saluran mereka mula berkembang  pesat dan kini mereka mempunyai hampir 400k subscriber. Dan setiap video yang mereka hasilkan pasti mendapat lebih dari 100,000 tontonan.

Sedapnya nampak resipi roti puri dengan sardin. Walaupun nampak mudah namun video ini berjaya meraih hampir 600k tontonan. Wow sangat!

Pavithra selalu bersikap jujur dengan pengikutnya dengan menghasilkan video tanpa diedit dan jelas menunjukkan bagaimana kehidupan mereka. Yang paling menarik , semua pengikutnya suka selain dari cara bercakap sehingalah ke peralatan memasak yang digunakan Pavithra. Bersih dan kemas.

Keakraban Pavithra dan suami bersama 2 lagi anak mereka sangat jelas terpancar. Pasangan ini gemar memetik hasil dari kebun kecil mereka sendiri, berbelanja di pasaraya berdekatan dan memberi makan kepada anak-anak mereka.

Banyak netizen yang sudah jatuh cinta dengan resipi pasangan ini dan kami juga sangat teruja untuk mencuba resipi yang dikongsikan!

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber : HCL