“Dulu Nak Balik Kampung Susah, Kena Transit Sampai 10 Jam” Mark Adam

TINGGAL berjauhan dengan keluarga bukanlah penghalang untuk penyanyi Mark Adam menziarahi dan mengunjungi insan tersayang pada bila-bila masa.

Mark, 40, berkata, dia kini lebih kerap pulang ke kampung halaman berbanding beberapa tahun lalu berikutan sudah ada penerbangan terus ke kampung halamannya di Cebu.

“Alhamdulillah, sekarang dah ada kapal terbang dari Kuala Lumpur terus ke Cebu, tahun lepas memang saya kerap balik kampung.

“Seingat saya kalau dahulu nak ke bandar Cebu mengambil masa lebih 10 jam, kena transit dari Kuala Lumpur ke negara lain sebelum sampai ke kampung… sekarang ini hanya empat jam sahaja!

Mark Adam bersyukur dimurahkan rezeki dapat pulang ke kampung lebih kerap.

“Rasa lebih mudah dan tak terasa jauh dengan keluarga, apabila ada apa-apa perayaan atau sambutan lebih senang kami nak ke sana,” katanya kepada mStar.

Sebagai anak jati pulau peranginan itu, Mark berkata dia memasang impian untuk mempunyai agensi pelancongan dan membawa pelancong dari negara ini melawat negara kelahirannya itu.

Kata Mark, Cebu memiliki pelbagai keistimewaan dan keunikan tersendiri yang masih belum diketahui oleh rakyat Malaysia.

Mark bawa tenaga pengajar Suara Academy melancong di kampung halamannya di Cebu, Filipina.

“Bandar cebu sebenarnya banyak tempat menarik dan sekarang ini dah banyak makanan halal dijual. Kalau tengok di mana-mana pun ada orang yang bertudung dan beragama Islam, sangat mudah untuk kita jumpa orang seagama.

“Saya perasan di Lapangan Terbang Cebu pun sudah ramai orang Malaysia, mereka tegur dan kata tempat ini sangat cantik… selama ini mereka tak pernah tahu lokasi ini.

“Jadi saya fikir, jika ada rezeki saya nak bawa orang Malaysia bercuti dan melihat sendiri keindahan Cebu, manalah tahu mereka akan jatuh cinta dengan kampung saya nanti,” katanya.

 Sumber:Mstar

 

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber: Noteuntukawak