Kanak Kanak Lain Sibuk Bersuka Ria Tetapi Mereka Berdua Menghabiskan Cuti Sekolah Dengan Cara Yang Amat Mulia

KETIKA rakan sebaya lain menghabiskan cuti sekolah bersama keluarga, Muhammad Fikri Aminuddin, 13, dan rakannya, Muhammad Aqil Iman Abdul Halim, 12, pula aktif membersihkan surau secara sukarela.

Walaupun tiada ganjaran atau imbuhan tetapi dua sahabat itu sanggup melakukan aktiviti berkenaan setiap pagi dengan mengerah keringat membersihkan ruang dalam dan luar Surau Al-Mukhlisin di Taman Desa Baiduri, Cheras di Kuala Lumpur.

Kegigihan Muhammad Fikri dan Muhammmad Aqil itu mendapat perhatian warganet selepas kisah mereka dikongsi seorang pengguna Twitter, Muhammad Idhham Azha Nazri, 24, semalam.

Berkongsi pengalaman itu, Muhammad Fikri yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tun Hussein Onn berkata, aktiviti berkenaan dilakukan sejak hari pertama cuti sekolah dengan keinginan sendiri untuk menghabiskan masa terluang.

Menurut Muhammad Fikri, rutin hariannya bermula seawal 7 pagi dan ditemani Muhammad Aqil yang tinggal di kawasan berhampiran.

“Sebenarnya, saya ada melakukan aktiviti ini sebelum cuti sekolah lagi tetapi hanya pada waktu hujung minggu atau hari tertentu saja.

“Kini, saya berpeluang melakukannya setiap hari dan seronok kerana aktiviti ini dapat menghilangkan bosan ketika cuti sekolah.

“Tambahan pula, saya tinggal berseorangan di rumah pada waktu siang dan tiada apa boleh dilakukan tetapi di surau, saya dapat menyapu sampah, mencuci lantai, mengelap tingkap dan sesekali membersihkan habuk permaidani.

“Saya berasa puas dapat melakukan aktiviti ini kerana menjadikan melihat surau dan kawasan persekitarannya bersih.

“Kalau boleh, saya mahu ajak rakan lain untuk turut serta,” katanya ketika ditemui Harian Metro hari ini.

Rakannya, Muhammad Aqil mengakui teruja untuk bersama-sama Muhammad Fikrimelakukan aktiviti berkenaan.

“Saya ada membantu emak di rumah tetapi lebih suka buat aktiviti seperti ini di surau kerana ia adalah rumah Allah.

“Berasa puas apabila dapat melihat rumah Allah bersih dan selesa untuk jemaah yang datang menunaikan solat di sini.

“Ibu bapa saya tidak menghalang kerana ia aktiviti yang berfaedah dan berasa mahu meneruskannya lagi walaupun selepas tamat cuti sekolah nanti,” katanya yang juga anak kedua daripada empat beradik.

Sementara itu, Imam Surau Al-Mukhlisin, Abdul Aziz Zakaria tahu mengenai kisah yang tular di media sosial itu selepas dimaklumkan jemaah lain menerusi perkongsian di aplikasi Whatsapp.

Menurut Abdul Aziz, dia menyambut baik usaha yang dilakukan Muhammad Fikri dan Muhammad Aqil serta berharap amalan itu menjadi ikutan anak muda yang lain.

“Mereka berdua selalu terbabit dalam aktiviti gotong-royong dan majlis anjuran surau seperti Maulidur Rasul serta lain-lain lagi.

“Muhammad Fikri turut berpengalaman menjadi bilal dan pernah diberi kepercayaan menjadi imam ketika solat fardu berjemaah.

“Apabila mereka meminta izin untuk membersihkan surau, saya dan pihak pengurusan tiada halangan sebaliknya memberi galakan.

“Kehadiran mereka ke sini (surau) untuk melakukan aktiviti itu secara sukarela juga perlu diberi pujian dan terima kasih atas sumbangan itu.

“Diharapkan lebih ramai mengikut jejak langkah mereka berdua,” katanya.

Sumber : HMETRO ONLINE

Be the first to comment on "Kanak Kanak Lain Sibuk Bersuka Ria Tetapi Mereka Berdua Menghabiskan Cuti Sekolah Dengan Cara Yang Amat Mulia"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*