Khai Tolong ‘Jual’ Nama

KUALA LUMPUR: Asalnya berlima, sekarang tinggal berdua.

Bakat baharu, Zaki Azeman berkongsi cerita persahabatannya dengan penyanyi popular, Khai Bahar dan tiga teman lain ketika sama-sama memburu impian menjadi artis, beberapa tahun lalu.

Zaki yang mula dikenali selepas membintangi drama Isteri Bukan Untuk Disewa arahan Osman Ali, memberitahu, Khai yang lebih dulu masyhur, tidak pernah melupakan asal-usul dan teman sekampung.

“Kami berlima mahu mengejar impian menjadi artis. Cuma, ketika Khai dan tiga lagi sahabat berhijrah ke Kuala Lumpur, saya masih tinggal di kampung kerana belum berani.

“Tuah menyebelahi Khai hingga dia dikenali ramai. Tiga sahabat lain pula nampaknya percaturan seni mereka tidak menjadi. Ada yang sudah balik kampung dan ada yang bekerja di Kuala Lumpur.

“Saya pula selepas memberanikan diri, mula bertatih mencari rezeki sebagai pelakon. Jika diikutkan, mahu jadi penyanyi macam Khai. Namun, rezeki berlakon datang dulu,” katanya kepada BH Online.

Zaki atau nama sebenarnya, Muhamad Zaki Azeman adalah teman sekampung Khai. Mereka berasal dari Kuala Perlis, Perlis.

Bercerita mengenai sahabat baiknya, Zaki berkata, Khai sering memberi sokongan moral kepadanya untuk terus aktif dan tidak pernah berkira.

“Khai adalah antara sahabat yang tidak kisah memberi promosi aktiviti seni saya termasuk drama yang dilakonkan melalui media sosial.

“Dia akan muat naik di Instagram (IG) Story kalau ada drama saya di kaca televisyen (TV). Khai tak lokek memberitahu pengikut maklumat mengenai drama lakonan saya termasuk waktu siaran.

“Baru-baru ini, saya ada menerima video yang merakamkan gelagat Khai bercerita mengenai saya. Dia memang tak kisah ‘jual’ nama kawannya,” katanya.

Zaki berkata, dia pernah menyertai uji bakat program realiti Akademi Fantasia (AF) sebanyak tiga kali.

“Kali pertama mencuba nasib adalah pada usia 18 tahun. Kali terakhir, saya dengan Khai sama-sama mencuba tetapi kami hanya bolos ke peringkat kedua,” katanya.

Dalam drama kontroversi, Isteri Bukan Untuk Disewa, Zaki memegang watak sebagai Imtiyaz Irdad iaitu teman baik kepada Nur Adreiana lakonan Tiz Zaqyah.

Drama itu diterajui aktor popular, Fattah Amin.

Nama Khai mula menjadi sebutan apabila nyanyiannya secara maya bersama Siti Nordiana menerusi aplikasi Smule menjadi viral di laman sosial.

Video nyanyian lagu Memori Berkasih tersebut juga mendapat sebanyak lebih 1 juta tontonan di YouTube

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber: BH