Dedikasi Untuk Golongan Miskin, Guru Dari Pedalaman Afrika Dinobat Guru Terbaik Dunia

Apabila memperkatakan tugas sebagai seorang guru, ramai orang merujuknya sebagai satu tugas “panggilan”. Kita semua mahukan anak-anak dididik oleh guru yang mencintai pekerjaan mereka dengan sepenuh hati sehingga mampu memberi inspirasi kepada anak-anak menjadi lebih berminat serta bermotivasi dalam pelajaran. Terdapat 2 pendapat mengenai guru iaitu “seorang yang berbakat akan berjaya, tidak kira apa,” dan “seorang yang berbakat memerlukan guru yang baik.”

Yayasan Varkey yang ditubuhkan pada tahun 2015 oleh seorang ahli perniagaan bernama Sunny Varkey bersama penaungnya, Mohammed bin Rashid Al Maktoum baru-baru ini telah menganugerahkan Guru Terbaik Dunia 2019 dalam sambutan Global Teacher Prize (Hadiah Guru Global) 2019.

The Guardian

Pemenang Global Teacher Prize 2019, Peter Tabichi mengalahkan 10,000 guru terbaik seluruh dunia dengan penyertaan dari 179 negara, merangkul anugerah Guru Terbaik Dunia berserta hadiah kemenangan bernilai USD$1 juta (RM4.15 juta).

Peringkat akhir pertandingan menyaksikan persaingan guru-guru dari India, Australia, Amerika Syarikat, Kenya, Belanda, Brazil, Jepun, Argentina, Great Britain, dan Georgia.

Guru sains dari Kenya bernama Peter Tabichi dinobat Guru Terbaik Dunia. Majlis penganugerahan dan nama pemenang yang berlangsung di Dubai telah diumumkan oleh aktor Hollywood, Hugh Jackman.

AP/Associated Press / East News

Peter Tabichi merupakan seorang guru yang mengajar di sebuah perkampungan kecil di pedalaman Afrika di mana penduduknya tidak mempunyai kemudahan pembelajaran yang mencukupi serta sumber yang amat terhad. Namun demikian, para pelajarnya menjadi terkenal kerana sering merangkul anugerah kemenangan dalam pertandingan sains di peringkat antarabangsa yang akhirnya menarik perhatian yayasan.

Sekolah yang menempatkan para pelajar berbakat dalam bidang sains ini tidak kelihatan seperti sekolah yang sering memenangi kejayaan utama. Terdapat hanya seorang guru untuk 58 orang pelajar dengan hanya terdapat sebuah komputer di sekolah. Demi mendapatkan pendidikan, ramai kanak-kanak perlu mengharungi perjalanan yang jauh ke sekolah di jalan tidak diturap yang akan berlumpur semasa musim hujan. Kebanyakan pelajar Peter Tabichi adalah anak-anak yang berasal dari keluarga miskin atau anak-anak yatim.

TONY KARUMBA/AFP / East News

Sekolah ini tidak mendapat sokongan kerajaan dengan pembiayaan kewangan yang secukupnya, jadi Peter Tabichi sendiri telah mengambil inisiatif dengan menyumbang 80% daripada hasil pendapatannya sebagai guru yang digunakan untuk pembangunan sekolah seperti membeli pakaian seragam sekolah, buku teks, dan bahan-bahan pembelajaran yang lain.

7 tahun yang lalu, Peter Tabichi pernah mengajar di sebuah sekolah swasta tetapi kemudian memutuskan untuk menjadi seorang mubaligh dan meninggalkan tugasnya yang bergaji lumayan. Etikanya kini perlu dipelihara dalam diri yang mengharuskannya mempunyai gaya hidup zuhud dan mendedikasikan diri untuk membantu orang lain. Inilah sebabnya mengapa memberikan pendidikan di sekolah yang miskin dianggap sebagai satu kerja kebajikan buat Peter Tabichi.

Katanya ketika memberi ucapan kemenangan, “Kemenangan ini bukan milik saya. Ia menunjukkan pencapaian minda anak-anak muda. Saya berada di sini hasil berkat usaha dan pencapaian pelajar saya. Terima kasih kepada mereka. Kemenangan ini akan memberi lebih peluang kepada mereka. Ini bermakna tiada lagi sempadan buat mereka.”

peter_tabichi/Instagram

Peter Tabichi menerangkan bagaimana beliau menggunakan kaedah motivasi yang berbeza ke atas para pelajarnya kerana rahsia kejayaan itu adalah rasa percaya kepada diri sendiri. Setiap orang mampu mencari sesuatu yang mereka suka lakukan apabila berasa yakin dengan diri sendiri. Peter mengajar para pelajarnya untuk melihat pelbagai perkara dari perspektif yang berbeza. Itulah sebabnya idea dan projek dalam kaedah pembelajarannya, di mana para pelajar dapat mengatur proses serta menganalisis keputusan dan hasil dengan fikiran sendiri menjadi sangat popular.

Guru ini tidak pernah mengatakan kepada pelajarnya bahawa beberapa projek ini amat hebat atau tidak hebat langsung. Perkara penting yang selalu diterapkannya ialah para pelajar harus menggunakan daya imaginasi mereka untuk mencari jalan penyelesaian baru. Peter Tabichi berkata, “Kreativiti sangat penting, terutamanya apabila pelajar ini berada dalam situasi yang sukar dengan sumber yang terhad.”

AP/Associated Press / East News

Di sekolah ini, terdapat beberapa kelab sains dan kreatif di mana setiap pelajar boleh menunjukkan idea dan mempamerkan pencapaian mereka.

Kata guru terbaik ini, “Melihat pelajar saya berkembang dan membangun bersama pengetahuan, kemahiran dan keyakinan adalah kegembiraan terbesar buat saya ketika menjadi guru! Apabila mereka menjadi berdaya tahan, kreatif, dan produktif dalam masyarakat, saya mendapat kepuasan diri kerana telah berjaya bertindak sebagai penyumbang terbesar kepada takdir mereka serta menjadi kunci yang membuka potensi buat diri mereka dengan cara yang paling menarik.”

Peter Tabichi juga bercakap mengenai sebuah projek toleransi bernama ‘Peace Club’ di mana terdapat 7 individu dari negara yang berbeza serta berlainan kepercayaan agama yang sering melawat sekolah ini.

TONY KARUMBA/AFP / East News

Ditanya dengan soalan, apa yang beliau akan lakukan dengan wang hadiah kemenangannya?

Jawapannya, pertama sekali, untuk kelas sains komputer, pembangunan makmal sains, dan projek baru yang dapat meningkatkan kehidupan orang ramai. Sebagai contoh, Peter Tabichi mahu membuat kajian dan mengajar pelajarnya untuk menanam tanaman tahan kemarau. Projek ini amat perlu dibangunkan untuk kehidupan lebih baik di Afrika.

Apa yang menarik, syarat perjanjian yayasan menyatakan bahawa pemenang anugerah Hadiah Guru Terbaik Global mempunyai tanggungjawab tertentu dan hadiah kemenangan tidak diberikan sekaligus kepada pemenang.

peter_tabichi/Instagram

Selama tempoh 10 tahun, pemenang mendapat USD$100,000 (RM414,930) setiap tahun dan mereka harus kekal dalam profesion perguruan selama 5 tahun dan menjadi duta global untuk Yayasan Varkey. Ia bermakna mereka perlu menjelajah ke seluruh dunia dengan melawat acara tertentu, mengadakan temu bual dengan media, serta mengambil bahagian dalam latihan berkaitan pendidikan.

Tahniah kepada Peter Tabichi di atas kejayaannya dinobat sebagai Guru Terbaik Dunia dan sesungguhnya guru ini telah memberi inspirasi kepada semua ketika membantu golongan miskin memperolehi kejayaan dalam bidang pendidikan demi mencipta masa depan yang lebih baik.

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber : Bright Side via EraBaru